BERA: Seorang lelaki berusia 20 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Pahang di Kampung Batu Bor, di sini, pada Sabtu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bera, Kapt.(PA)Ahmad Azmi Nafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.15 petang.

Mangsa, Faizal Akmal Fikri Mohd Fauzi berasal dari Kampung Bukit Lada Awah, Temerloh.

"Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai mandi di sungai itu berdekatan masjid lama Kampung Batu Bor.

"Anggaran waktu mangsa dipercayai hilang sekitar pukul 4 petang berdasarkan saksi orang awam yang berada di lokasi k jadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, pihak APM menerima panggilan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu Bor, Samsudin Taib, yang memaklumkan kejadian tersebut.

Difahamkan, seramai 10 anggota APM digegaskan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memaklumkan, pasukan Bomba membabitkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang melakukan operasi SAR di sekitar tebing sungai.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai berseorangan. Malah motosikal serta selipar milik mangsa didapati ada di lokasi kejadian," ujarnya.